02 May 2009

NOTA RINGKAS KULIAH 1

Pengenalan kajian tindakan (20 April 2009)

Kajian tindakan

Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Kajian tindakan juga sebagai satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang melibatkan warga sekolah itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

Kajian tindakan ini dilakukan sama ada secara individu, secara kolaboratif iaitu yang melibatkan beberapa pihak ( contohnya melibatkan beberapa orang guru), Kajian yang dilakukan di peringkat sekolah ataupun kajian tindakan yang melibatkan peringkat daerah.


Tujuan kajian tindakan

Tujuan kajian tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya. Di antara tujuan kajian tindakan adalah untuk:

1- Menambah pengetahuan berkenaan dengan sesuatu pemasalahan yang ingin dikaji. Dengan kajian yang dijalankan yang melibatkan beberapa proses membantu para guru dalam menambahkan pengetahuan mereka melalui pembacaan yang perlu dilakukan, perbincangkan yang diadakan dan pemerhatian yang dijalankan.

2- Menambah baik amalan. Kajian tindakan menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan. Guru menyelidik amalan-amalan yang hendak diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu. Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya.

3- Mendebat sesuatu polisi. Dengan menjalankan kajian tindakan guru boleh mendapatkan jawapan yang lebih tepat terhadap masalah yang berlaku. Justeru itu polisi yang dirasakan kurang bersesuaian boleh diperdebatkan berdasarkan hasil kajian tindakan yang diperolehi.

4- Membina kemahiran melakukan penyelidikan. Dengan menjalankan kajian tindakan ini boleh membantu seseorang dalam meningkatkan kemahiran berkenaan dengan penyelidikan. Dalam bidang penyelidikan, sesuatu kemahiran itu sukar untuk dikuasai jika hanya belajar secara teori tanpa dipraktikkan. Oleh itu, untuk membina kemahiran dalam menyelidik, kajian tindakan ini perlu dipraktikkan dari semasa ke semasa.


Proses menjalankan kajian tindakan

Dalam menjalankan kajian tindakan proses yang terlibat adalah seperti berikut:

- Merancang (Membuat perancangan apa yang ingin dikaji)
- Bertindak (Bertindak berdasarkan perancangan yang telah disusun)
- Memerhati (Membuat pemerhatian terhadap masalah yang dikaji contoh kelewatan datang ke sekolah)
- Merefleksi (Mengkaji aspek kelemahan dan kekuatan yang ditemui)



Langkah Tindakan

1- Mengenalpasti masalah/fokus/isu

2- Mengumpul data

3- Menganalisa data/membentuk persoalan kajian

4- Merancang pelan tindakan

5- Melaksanakan pelan tindakan

6- Mengumpul data untuk mengesan perubahan

7- Menganalisis dan menilai

8- Penilaian impak

(Nota ringkas ini adalah berdasarkan kefahaman apa yang telah diperolehi ketika di dalam kelas dan pembacaan yang dibuat setakat ini. Mungkin akan diubah dari semasa ke semasa berdasarkan kefahaman yang diperolehi. Jika ada kesilapan atau kesalahan harap dapat diperbetulkan)

No comments:

Post a Comment