12 May 2009

NOTA KULIAH 2

Reka bentuk kajian tindakan (27 /04 / 2009)

Reka bentuk dalam kajian tindakan sedikit berbeza berbanding dengan kajian-kajian yang lain seperti kajian lapangan ataupun kajian perpustakaan. Dalam kajian tindakan, rekabentuk kajian adalah lebih fleksibel kerana ia boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada kesesuaian ketika kajian dijalankan.

Creswell (2005) membahagikan kajian tindakan kepada 2 jenis iaitu:
i) Kajian tindakan amalan (practical action research)
ii) Kajian tindakan penyertaan (particpatory action research)

Dalam klasifikasi kajian tindakan tersebut, kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri ataupun melibatkan rakan sejawat beliau yang mengajar matapelajaran yang sama (team-based inquiry) dengan memberi fokus terhadap amalan guru (teacher development) dan pembelajaran pelajar ( student learning). Guru yang menjalankan kajian tindakan amalan mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher researcher).

Kajian tindakan penyertaan melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghindarkan perkembangan pelajar. Untuk melihat isu ini, guru perlu meninjau latar belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah. Guru perlu mengadakan kolaborasi dengan komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab musabab kenapa seorang pelajar itu tidak boleh menguasai ilmu. Apabila faktor-faktor yang menghindar pelajar itu diperoleh, maka guru boleh melaksanakan program untuk mengubah cara hidup pelajar dan dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan guru sebagai 'emancipated researcher' ataupun guru yang membebaskan pelajarnya dari satu belenggu yang mencegah perkembangan pelajar tersebut.

Model tradisional yang selalu diaplikasikan dalam menjalankan kajian tindakan adalah berdasarkan model 'action research cycle' yang mempunyai asal usul dari Kemmis & Mc. Taggart (1998). Menurut Kemmis & Mc.Taggart, model ini mempunyai 4 elemen iaitu

i) Mereflek (reflect)
ii) Merancang (plan)
iii) Bertindak (action)
iv) Memerhati (obverse)


Model ini adalah relevan terutamanya dalam konteks pengendalian kajian tindakan amalan seperti yang dijalankan dalam bilik darjah terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Terdapat juga satu model kajian tindakan yang dipelopori oleh Stringer (1999) adalah lebih sesuai sekiranya seseorang guru hendak menjalankan kajian tindakan bercorak penyertaan. Stringer melihat kajian tidakan penyertaan (participatory action research) sebagai satu gelung interaksi. Gelung interaksi menunjukkan 3 fasa kajian. Bermula dengan penglihatan (looking), pemikiran (thinking), tindakan (action). Ini menunjukkan proses itu sentiasa berulangan dan diperbaharui.

Dalam model ini Stringer mengutamakan penglihatan, untuk membina satu gambaran bagi membolehkan pihak yang berkepentingan memahami isu yang mereka alami. Fasa ini meliputi pengumpulan data (seperti melalui temubual, pemerhatian dan analisis dokumen), merekod dan menganalisis maklumat, serta membina dan melapor kepada pihak yang berkepentingan.

Fasa seterusnya meliputi pemikiran iaitu mentafsir isu-isu dengan lebih mendalam dan mengenal pasti keutamaan dalam menjalankan tindakan.

Fasa terakhir, penyelidik bertindak iaitu menghasilkan penyelesaian-penyelesaian yang praktikal terhadap masalah-masalah yang timbul. Ini merangkumi penyediaan pelan tindakan dan menentukan hala tuju seperti menentukan objektif, tugas dan orang-orang yang akan melaksanakan objektif serta memperoleh sumber-sumber yang diperlukan. Ini juga termasuk melaksanakan pelan, menggalakkan orang menjalankannya dan menilainya dari segi keberkesanan dan pencapaian.

Rujukan tambahan:

Creswell, J.W. 2008. Educational Research Planning, Conducting & Evaluating Quantitative and Qualitative Research. United States of America: Pearson Merril Prentice Hall



No comments:

Post a Comment