24 May 2009

TUGASAN 1 : Ulasan buku kajian tindakan (individu)

1.1 Konsep Kajian Tindakan:


Kajian tindakan adalah untuk mempertingkatkan mutu profesionalisme guru di mana penyelidikan dilakukan terhadap situasi sosial di sekolah yang bertujuan memperbaiki amalan guru. Kajian ini merupakan suatu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri bagi memperbaiki dan memahami amalan serta situasi sosial.

Ia juga merupakan suatu pendekatan untuk memperbaiki dan meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis pada amalan itu dan bersedia mengubah amalan-amalannya. Dalam kajian ini, penyelidik adalah guru sendiri yang ingin memperkembangkan diri dan profesionnya.

Secara kesimpulannya boleh dikatakan kajian tindakan ini adalah kajian terhadap situasi sosial dalam konteks guru sebagai penyelidik khusus demi memperbaiki kualiti amalannya dengan inovasi-inovasi yang banyak didatangkan dengan kaedah inkuiri dan refleksi.


2.1 Mengapa guru perlu membuat kajian tindakan:


i- Mengembangkan profesionalisme guru

Kajian tindakan dapat membantu dalam mengembangkan profesion perguruan. Dengan kajian yang dijalankan sedikit sebanyak dapat memperbaiki kelemahan yang ditemui dan ini secara tidak langsung membantu dalam mengembangkan profesion keguruan.

ii- Meningkatkan keberkesanan amalan mengajar dan membantu mengubah amalan mengajar

Melalui kajian tindakan boleh mendapatkan maklumat berkaitan pengamalan mereka dan berkongsi maklumat tersebut dengan rakan sejawat dan sebagainya. Ini dapat membantu dalam meningkatkan keberkesanan amalan mengajar dan juga dapat membantu mengubah amalan mengajar yang masih terdapat kekurangan.

iii- Berkongsi maklumat dan usaha berpasukan

Kajian tindakan yang menggunakan cara kolaboratif contohnya dapat merapatkan hubungan, saling membantu, memahami situasi dan produktif. Usaha sama di kalangan guru adalah lebih menjadi apabila guru dalam pasukan penyelidik turut terlibat menjalankan kajian di kelas masing-masing.

iv- Menjalankan penyelidikan pengajaran dengan sistematik

Guru akan lebih mengetahui kaedah atau cara menjalankan penyelidikan pengajaran dengan sistematik . Penyelidikan yang sistematik akan dapat membantu dalam mendapatkan hasil yang lebih tepat dalam usaha membantu memperbaiki kelemahan yang ditemui.


3.1 Rekabentuk kajian tindakan:


Rekabentuk kajian tindakan boleh diubahsuai berdasarkan keadaan dan keperluan situasi sebenar di sekolah. Kajian mesti bergerak dengan mantap/teliti melalui peringkat-peringkat yang telah digariskan. Perubahan dan pemeringkatan prestasi kerja ini boleh dilakukan berdasarkan kepada gelungan langkah yang terdiri daripada merancang, bertindak, dan menilai tindakan melalui pemerhatian dan refleksi. Ini boleh dilihat dalam model gelungan skema tindakan yang diperkenalkan oleh Kurt Lewin.


3.1.1 Model

Dalam model gelungan skema tindakan tersebut, dapat diperhatikan ia berdasarkan kepada 4 prinsip asas selepas dikenalpasti isu yang hendak diperbaiki.

Langkah-langkah yang dicadangkan dalam model-model kajian tindakan:

Langkah pertama: Mengenalpasti isu/masalah/situasi
Cuba melihat persoalan kajian yang boleh diambil tindakan. Menghadkan kajian awal kepada persoalan yang kecil dan pilih persoalan yang penting bagi pelajar dan anda. Sebaik-baiknya kajian itu boleh atau dapat dilakukan secara kolaboratif iaitu anda akan mengkaji bersama-sama rakan sejawat secara berkumpulan atau berpasukan dan cuba melaksanakan kajian tindakan berdasarkan keutamaan iaitu hendak membangunkan atau meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

Langkah kedua: Merancang tindakan
Lazimnya rancangan tindakan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu rancangan yang hanya untuk mengubah cara yang ada secara terperinci atau untuk menyelesaikan masalah tertentu yang diperolehi dalam suatu rancangan tanpa mengubah keseluruhan rancangan dan yang keduanya rancangan untuk menggantikan cara yang ada dengan cara yang lain.

Langkah ketiga: Perlaksanaan langkah tindakan
Pengkaji perlu meneliti dan menganalisis data secara terperinci supaya berkeyakinan untuk meneruskan kajian. Pengkaji mungkin memerlukan rakan-rakan yang boleh mengkritik supaya pengkaji mendapat gambaran yang betul apa yang sedang dibuat. Kritikan ini mesti diberikan secara jujur.

Langkah keempat: Meninjau dan mengutip data kajian tindakan
Adalah penting untuk memilih kaedah yang sesuai untuk meninjau dan mengutip data. Antara contoh bentuk data kajian tindakan seperti bahan-bahan dokumentasi seperti kerja pelajar, jadual kedatangan sekolah, rekod keputusan sekolah dan sebagainya. Rakaman video dan audio mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, transkrip hasil temubual, foto dan gambar atau cacatan buku diari, buku log, jurnal dan lain-lain.


3.1.2 Sampel

Dalam kajian tindakan, sampel kajian adalah berdasarkan kepada tujuan kajian yang ingin dijalankan. Penyelidik juga boleh dipertimbangkan sebagai salah seorang peserta.


4.1 Posedur/proses kajian tindakan


Proses kajian tindakan adalah mengikut prinsip inkuiri yang sistematik berdasarkan refleksi dari semasa ke semasa. Proses ini adalah satu langkah yang penting di mana pengkaji merefleks, bertindak dan membuat penilaian. Selepas menilai, proses diteruskan dengan refleksi, tindakan dan penilaian. Proses berkongsi idea yang berterusan dan konsisten berdasarkan prinsip kajian tindakan ini adalah untuk meningkatkan pengamalan seseorang individu.


Contoh proses yang berlaku di dalam kajian tindakan:


Refleksi - Tindakan – Penilaian – Refleksi – Tindakan – Penilaian

Refleksi : Pelajar saya lebih fokus kepada terjemahan berbanding kefahaman bila mereka membaca. Jadi bagaimana cara saya dapat membantu agar pelajar faham apa yang mereka baca.

Tindakan : Rakan sejawat memberitahu mengenai Reader ‘workshop’ dan saya telah membaca kaedah tersebut dan ia membuatkan saya rasa ianya berkesan untuk kelas saya. Saya akan laksanakan strategi ini bersama pelajar saya.

Penilaian : Saya akan buat pemerhatian dan menemubual pelajar, membuat reflekif jurnal, analisis sample kerja pelajar dan bertanya rakan sejawat untuk memerhati proses pengajaran dan pelajar saya.

Refleksi : Semua sumber data menunjukkan pelajar berminat dan bermotivasi untuk meningkatkan pembacaan , tetapi pelajar masih mengalami kesukaran dari sudut kefahaman.

Tindakan : Saya menggunakan lebih banyak strategi dan mengambil lebih masa untuk mengajar berkaitan strategi. Saya akan menggunakan kaedah secara verval (apa yang saya fikirkan) supaya para pelajar boleh tahu apa yang sedang saya fikir.

Penilaian : Fokus di sini, pengkaji dalam kajian tindakan menilai dengan berkesan strategi baru dan menggunakan kaedah secara verval (apa yang difikirkan) dan seterusnya meneruskan pusingan ini.


Perancangan awal dalam kajian tindakan

1) Proses dijelaskan melalui persoalan kajian yang memberi fokus kepada tindakan dan hasil (Penjelasan persoalan kajian)

Menulis persoalan kajian utama berdasarkan kepada apa yang diperolehi dari kenyataan refleksi awal dan apa yang diperolehi dan dipelajari dari tinjauan literatur.


2) Menerangkan proses perancangan dan pelaksanaan intervensi yang akan digunakan. (Perancangan intervensi)

Jelas intervensi yang akan digunakan dan berkaitan dengan kajian literatur. Perancangan perlu terperinci supaya guru-guru yang lain atau pentadbir boleh membaca perancangan tersebut dan dan digunakan dalam setting mereka. Adalah sangat penting untuk memasukkan intervensi dan tempoh intervensi.


3) Huraikan proses memilih peserta kajian dan penyertaan dalam kolaborasi. (Peserta yang terlibat)

Siapa yang terlibat dalam kajian tindakan. Semua pelajar, sebuah kelas, satu kumpulan kecil pelajar, guru-guru, staf atau lain-lain. Ibu bapa juga boleh menjadi sebahagia n daripada sumber data. Perlu diingati pengkaji bukan hanya orang yang mengkaji dalam projeknya, tetapi juga merupakan peserta. Penetapan peserta kajian sangat penting agar dapat memastikan kajian ini lebih mudah untuk dikawal yang akan meningkatkan kebolehan untuk menguruskan kajian secara lebih berkesan.


4) Menyediakan aktiviti yang dipandu oleh seseorang melalui parancangan dan pelaksanaan bahagian kajian mereka (kolaborasi).

Kemungkinan kolaborasi dengan individu di sekolah, mungkin juga rakan fakulti di universiti, atau pengajar dari lain-lain sekolah yang dirasakan boleh membantu dalam kajian.


5.1 Pengumpulan dan penganalisisan data


5.1.1 Teknik pengumpulan data

Data boleh diperolehi melalui 3 kategori iaitu:

1) Artifak (sesuatu yang dihasilkan oleh manusia)

Contoh artifak adalah seperti:

Student-generated ; teacher-made tests, ujian piawai, tugasan, penglibatan, projek, jurnal, penilaian kendiri dan peer review. Sekiranya kajian yang dijalankan lebih memfokuskan kepada pencapaian pelajar, teknik di atas boleh digunakan sebagai sumber data dalam kajian tersebut.

Teacher-generated; Rancangan pengajaran, jurnal guru, penilaian kendiri dan peer review. Sekiranya anda seorang pentadbir dan ingin lebih memfokuskan kajian lebih kepada guru berbanding pelajar (contohnya menyelidik keberkesanan guru baru menguruskan program), teknik teacher-generated ini boleh dijadikan sebagai sumber data.

Arkib (archived); Computer-generated reports, rekod sekolah dan dokumen. Teknik ini pula mungkin boleh digunakan jika ingin menggunakan rekod sekolah di dalam kajian. Pelbagai maklumat yang boleh diperolehi seperti laporan melalui komputer , kehadiran dan rekod disiplin atau skor ujian piawai yang mungkin sangat bernilai.


2) Data melalui pemerhatian (observational data)

Data observasi boleh membantu dalam menentukan mengapa sesuatu intervensi itu berjaya atau gagal dan bagaimana ianya mendatangkan kesan kepada kajian yang dijalankan. Contohnya seperti rakaman pemerhatian, log, senarai semak, catatan di kertas, videotape, photograf, audiotape, carta organisasi dan skala tingkahlaku. Penyelidik perlu menentukan cara terbaik untuk menggunakan observasi dalam kajian tindakan. Mereka perlu pertimbangkan bagaimana data melalui obsevasi akan digunakan dalam kajian tindakan, apa yang diinginkan melalui observasi , siapa yang ingin diperhatikan dan apa peranan yang perlu dimainkan ketika observasi.

3) Data inkuiri

Data inkuiri digunakan untuk mengumpul maklumat dari peserta tentang pengetahuan mereka, nilai, kepercayaan, pengalaman lepas, perasaan, pendapat, sikap dan persepsi. Dalam kajian tindakan, penyelidik juga peserta dalam membuat persepsi mengenai keberkesanan intervensi, cara intervensi boleh ditingkatkan dan juga maklum balas positif dan negatif dari intervensi. Contoh data inkuiri adalah seperti temubual, kumpulan fokus, persidangan, tinjauan atau soal selidik dan skala sikap.


5.1.2 Teknik penganalisisan data

1) Interim data analysis (analisis data sementara)

Interim data analysis adalah satu proses menganalisis data secara tidak formal. Ini bermaksud semua data yang diperlukan dilihat dan difikirkan dengan teliti seterusnya membuat penukaran atau penambahan terhadap strategi jika dirasakan perlu.

2) Menggunakan ‘packages software’ untuk menganalisis jumlah data yang besar

Bagi yang berminat menganalisis statistik dalam bentuk data quantitatif, SPSS, SAS, Minitab dan Excel boleh digunakan untuk melihat perbezaan statistik dan hubungan antara data. Sekiranya ingin menganalisis data qualitatif yang mempunyai jumlah yang besar antara contoh software yang boleh digunakan seperti Nvivo, QSR N6 (formerly NUD*IST) dan ATLAS.

3) Analisis data quantitatif: Reporting, comparing & Displaying

Data quantitatif dihasilkan melalui skor ujian, rubric-scored work (penulisan tugasan, prestasi yang ditunjukkan, projek), closes-ended self-assessment items, laporan melalui komputer, rekod sekolah, senarai semak, kertas catatan (tally sheets), skala tingkah laku, skala sikap dan closed-ended survey items. Langkah untuk menganalisis data kuantitatif yang terdiri daripada laporan, perbandingan dan data yang dipamerkan. Langkah pertama dalam proses analisis ialah dengan melihat pelbagai sumber data dan tentukan yang mana boleh dianalisis secara kuantitatif. Kemudian ikut garis panduan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh setiap jenis data yang digunakan. Dalam analisis ini data dicadangkan untuk dilaporkan dalam bentuk gambar rajah.

4) Analisis data qualitatif : Looking for themes dan patterns (Melihat kepada tema dan corak)

Analisis data quantitatif adalah satu proses membuat atau memberikan makna dari sumber data yang boleh menerangkan/menjelaskan dalam bentuk nombor (interpreted in a number of ways). Sumber data qualitatif adalah seperti nota lapangan, logs, temubual, kumpulan fokus, persidangan, dokumen, jurnal dan open-ended items from survey, scales, penaksiran-kendiri dan peer reviews yang hanya boleh diterangkan dan digunakan untuk menjawab persoalan kajian selepas diperjelaskan. Proses ini memerlukan analisis data yang mendalam berbanding proses yang digunakan untuk menerangkan sumber data quantitatif. Shank’s menerangkan tema ini muncul adalah berkait rapat dengan apa yang berlaku sebenarnya dalam proses analisis: Tema tidak muncul secara jelas dari data. Selepas bekerja kuat dan berfikir secara kreatif maka akan wujud kesedaran dalam pemikiran pengkaji yang di sana adalah corak untuk melihat data dari pelbagai aspek.

5) Triangulating data sources and drawing conclusions from data (Sumber data triangulasi)

Teknik ini melibatkan analisis data daripada sumber atau responden yang berlainan. Analisis perbezaan tanggapan atau persepsi dari beberapa pihak yang biasanya melebihi tiga pihak adalah amat penting kerana responden yang berlainan melihat dan memberi tafsiran yang berlainan terhadap sesuatu perkara ataupun kejadian yang berlaku.


6.1 Etika kajian tindakan

1- Penyelidik memerlukan kebenaran untuk menjalankan kajian tindakan sekiranya data yang dikumpul melibatkan peserta (manusia) yang akan disebarkan hasil kajian tersebut secara meluas.

2- Sekiranya penyelidikan kajian tindakan dijalankan di sekolah atau sekolah dalam daerah (bukan kolej atau universiti) langkah pertama ialah dengan menghubungi pejabat dan bertanya berkaitan dengan proses untuk mendapatkan kebenaran bagi menjalankan kajian. Perlu sediakan kertas kerja.

3- Semua peserta mesti bersetuju untuk dicatatkan sebagai sebahagian daripada kajian. Jika kajian termasuk juga individu yang berumur kurang 18 tahun memerlukan kebenaran daripada ibu bapa


7.1 Kebolehpercayaan dan kesahan kajian tindakan

Kesahan:

Dalam kajian kuantitatif kesahan merujuk kepada darjah keputusan yang betul terhadap peserta yang sepatutnya (kesahan dalaman), darjah yang boleh digeneralisasikan kepada semua peserta kajian (kesahan luaran) atau darjah yang mana ujian atau penaksiran yang diukur mengukur apa yang sepatutnya diukur (kesahan ujian).


8.1 Penilaian keseluruhan terhadap buku


Pada peringkat awal, buku ini telah memberi penjelasan secara umum berkaitan dengan kajian dan kajian tindakan serta apa yang membezakan kajian tindakan dengan kajian-kajian yang lain. Secara keseluruhan buku ini dapat menerangkan dengan terperinci mengenai perjalanan kajian tindakan yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin mengaplikasikannya lebih-lebih lagi sebagai seorang guru. Namun pada peringkat awal, buku ini tidak menjelaskan secara terperinci berkaitan dengan model dan hanya menyarankan proses yang perlu dilalui dalam kajian tindakan yang mungkin juga berasaskan model-model yang disebutkan secara umum. Walaupun demikian, untuk proses-proses yang seterusnya terutamanya yang berkaitan dengan pengumpulan data, penganalisisan data telah diterangkan dengan terperinci. Hanya maklumat utama dicatatkan dalam tugasan ini berdasarkan apa yang difahami.


RUJUKAN

Hendricks, C. (2006). Improving School Through Action Research a Comprehensive Guide for Educators. America: Pearson education, Inc.

16 May 2009

NOTA KULIAH 4

Kajian Kepustakaan /Tinjauan Literatur (11 / 05/ 2009)

Kajian kepustakaan/ tinjauan literatur membabitkan sorotan ke atas bahan-bahan literatur seperti buku, jurnal, artikel seminar dan laporan. Dengan membuat tinjauan literatur, pengkaji akan lebih memahami berkaitan dengan aspek ataupun permasalahan yang ingin dikaji.

Menurut Hendricks (2006), tinjauan literatur ini penting dengan pelbagai sebab. Antaranya:
i- Pengkaji berpeluang meneliti terlebih dahulu topik yang ingin dijalankan kajian
ii- Belajar hasil dari pengalaman pengkaji lain untuk membentuk perancangan yang lebih tersusun

Dalam tinjauan literatur seperti jurnal contohnya, adalah penting untuk penulis mengambil kira aspek kesahan iaitu (adakah proses yang dilalui dalam kajian tersebut telah mengukur apa yang sepatutnya diukur) dalam mendapatkan hasil yang tepat terhadap kajian yang dijalankan.

Selain itu, dalam membuat penelitian atau pembacaan terhadap kajian kepustakaan ini, penyelidik boleh memberikan perhatian dan tumpuan kepada satu atau beberapa ciri kajian tindakan seperti sampel, setting, prosedur, pengumpulan dan penganalisaan data.

Proses-proses berikut perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat dengan lebih menyeluruh dan menjadi lebih bermakna..

- Menganalisis
Analisis dilakukan dengan mengolah maklumat dengan menghuraikan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat. Kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubungkait antara bahagian-bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat. Proses ini merupakan satu kemahiran yang kompleks yang memerlukan beberapa ciri kemahiran berfikir.

- Menilai
Menilai di sini bermaksud membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara daripada segi kebaikan dan kelemahan berdasarkan bukti atau dalil yang sah. Proses ini memerlukan pengkaji untuk meneliti setiap ciri-ciri kajian tindakan ketika tinjauan yang dilakukan.

- Membuat kesimpulan
Seterusnya mengkaji menyimpulkan dengan membuat pernyataan tentang sesuatu hasil kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan. Kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan, menerangkan sesuatu, meramal dan menyokong.

- Mensintesis
Sistesis bermaksud menggabungkan idea, unsur, item dan perkara yang berasingan untuk menghasilkan gambaran yang menyeluruh dalam bentuk pernyataan.

Rujukan tambahan:

Hendricks, C. (2006). Improving School Through Action Research a Comprehensive Guide for Educators. America: Pearson education, Inc.

13 May 2009

AKTIVITI 3

Sebab-sebab Orang Menentang Perubahan dan Cara Penyelesaiannya

Kenapa perubahan ditentang?

- Tidak mahu mengubah kebiasaan. Sudah selesa dengan keadaan sedia ada
- Perubahan drastik yang sukar diterima
- Tidak nampak matlamat kenapa perlu berubah. Mungkin sesetengah individu dalam organisasi masih tidak jelas kenapa mereka perlu berubah.
- Bertentangan dengan budaya organisasi
- Kerumitan yang terpaksa dihadapi untuk perubahan. Ini berkaitan dengan kos yang perlu dibelanjakan untuk mengadakan bengkel contohnya ataupun kesukaran yang dihadapi untuk melatih sumber manusia

Cara penyelesaiannya

- Berfikiran secara positif dan terbuka terhadap perubahan yang ingin dilakukan. Perubahan mungkin lebih menarik dan lebih memudahkan jika diterima dengan hati terbuka dan kesungguhan yang ditunjukkan ke arah melakukan perubahan.

- Menyedikan pelan tindakan yang bersesuaian. Walaupun drastik, tetapi boleh dilaksanakan secara beransur-ansur. Mungkin dengan melalui proses evolusi yang menampakkan hasil sedikit demi sedikit walaupun dalam tempoh yang panjang.

- Penjelasan lanjut perlu diberikan oleh pihak pengurusan tentang matlamat yang ingin dicapai melalui perubahan yang ingin dilakukan. Sentiasa melakukan 'follow up'.. dan 'brain storming' supaya matlamat dapat dilihat dengan jelas dan difahami oleh semua ahli.

- Cuba sedikit demi sedikit untuk belajar menerima budaya orang lain yang dilihat lebih baik untuk diterjemahkan dalam organisasi. Mungkin agak sukar pada peringkat awal tetapi apabila telah menjadi amalan kebiasaan ianya bukan lagi sesuatu yang sukar.

- Pertimbangkan dari sudut kesan jangka panjang. Dengan perubahan yang berlaku, produktiviti dapat ditingkatkan kos untuk perubahan pada peringkat awal akan terbayar dan lebih menguntungkan.


NOTA KULIAH 3

Pengurusan Perubahan dalam Pendidikan ( 04 /05/ 2009)

Bidang pendidikan bukan suatu yang statik tetapi akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Perkembangan dalam bidang pendidikan mungkin boleh dilihat melalui kajian-kajian, percambahan ilmu, melalui idea-idea baru dan sebagainya. Melalui perkembangan tersebut maka akan berlakulah perubahan dalam pendidikan yang memerlukan satu pengurusan yang sesuai dan berkesan.

Dessler (1995) membahagikan perubahan kepada 4 jenis iaitu:

Pertama, perubahan ke arah peningkatan
Perubahan ke arah peningkatan ini adalah perubahan dalam meningkatkan produktiviti, modal insan, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran dan sebagainya. Perubahan ke arah peningkatan ini akan memberi kesan kepada unit tertentu dalam sesebuah organisasi. Ini kerana perubahan ini akan melibatkan perubahan dalam struktur organisasi, teknologi baru yang akan diperkenalkan dan juga akan melibatkan program pembangunan staf untuk meningkatkan komitmen dan produktiviti staf.

Kedua, perubahan strategik organisasi
Perubahan strategik organisasi ini bermaksud perubahan yang dilakukan dengan cara merombak kembali organisasi tersebut dengan cara mendefinasikan semula peranan organisasi, nilai teras organisasi, membentuk semula misi, merubah struktur dan strategi organisasi serta menyusun kembali staf atau kakitangan dari segi tugas, peranan, tanggungjawab dan sistem pengajaran.

Ketiga, perubahan reaktif
Perubahan ini berlaku hasil dari tindak balas langsung daripada pelanggan di pihak yang berkepentingan terhadap isu-isu persekitaran dan etika yang memerlukan sesebuah organisasi membuat perubahan. Perubahan hendaklah dilakukan dari segi prosedur dan cara layanan pelanggan.

Keempat, perubahan akibat daripada jangkaan
Perubahan akibat daripada jangkaan ini adalah berlawanan dengan perubahan reaktif. Perubahan ini berlaku atas kesedaran pihak pengurusan sendiri dalam memastikan organisasi memperoleh kebaikan kompetitif. Perubahan yang dilakukan sebagai satu cara untuk mempersiapkan organisasi menghadapi pesaing baru yang akan muncul dan mungkin juga persiapan terhadap kemungkinan berlakunya perubahan ke atas kehendak pelanggan. Pihak pengurusan juga bersedia terhadap kemungkinan seperti teknologi baru, perubahan polisi kerajaan dan trend tenaga kerja.


Apa yang perlu diketahui berkaitan perubahan??
  • Perubahan adalah sesutu yang kompleks yang boleh dikaitkan dengan proses evolusi (kesan sedikit dalam tempoh yang panjang) dan revolusi (perubahan yang pantas). Apa yang perlu dalam situasi ini ialah dapatkan maklumat perubahan dan tindakan yang perlu diambil untuk berubah.
  • Perubahan akan melibatkan pelbagai dimensi. Antara dimensi yang perlu dipertimbangkan adalah seperti:
i- Jelas tujuan perubahan
ii- Unit perubahan (fokus utama unit kecil hingglah ke unit yang lebih besar)
iii- Sifat perubahan (ubah sikap dan tingkah laku individu)
iv- Magnitud perubahan (sejauhmana perubahan yang dirancang diimplementasikan)
v- Skop perubahan(sejauhmana penambahbaikan ditentukan dengan instrumen penilaian
vi- Jangka masa perubahan

Model perubahan :

1- Model penggabungan Roger
Kenalpasti masalah - menyiasat permasalahan tersebut - bagaimana hendak diselesaikan

2- Model Kanter
Struktur & organisasi dapat difahami dengan baik jika dibahagikan kepada 4 tugas utama
Penjanaan idea, membina idea, realisasi idea, pemindahan idea.

3- Model Rand
Menentukan faktor yang menyebabkan atau menghalang perubahan pendidikan
Memandu ke arah pengumpulan data dan analisis

4- Model Acot
Berdsarkan projet ACOT kajian pengenalan komputer dalam bilik darjah
Membuat kesimpulan kehendak perubahan dalam P&P telah berkembang beransur-ansur

12 May 2009

NOTA KULIAH 2

Reka bentuk kajian tindakan (27 /04 / 2009)

Reka bentuk dalam kajian tindakan sedikit berbeza berbanding dengan kajian-kajian yang lain seperti kajian lapangan ataupun kajian perpustakaan. Dalam kajian tindakan, rekabentuk kajian adalah lebih fleksibel kerana ia boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada kesesuaian ketika kajian dijalankan.

Creswell (2005) membahagikan kajian tindakan kepada 2 jenis iaitu:
i) Kajian tindakan amalan (practical action research)
ii) Kajian tindakan penyertaan (particpatory action research)

Dalam klasifikasi kajian tindakan tersebut, kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri ataupun melibatkan rakan sejawat beliau yang mengajar matapelajaran yang sama (team-based inquiry) dengan memberi fokus terhadap amalan guru (teacher development) dan pembelajaran pelajar ( student learning). Guru yang menjalankan kajian tindakan amalan mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher researcher).

Kajian tindakan penyertaan melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghindarkan perkembangan pelajar. Untuk melihat isu ini, guru perlu meninjau latar belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah. Guru perlu mengadakan kolaborasi dengan komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab musabab kenapa seorang pelajar itu tidak boleh menguasai ilmu. Apabila faktor-faktor yang menghindar pelajar itu diperoleh, maka guru boleh melaksanakan program untuk mengubah cara hidup pelajar dan dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan guru sebagai 'emancipated researcher' ataupun guru yang membebaskan pelajarnya dari satu belenggu yang mencegah perkembangan pelajar tersebut.

Model tradisional yang selalu diaplikasikan dalam menjalankan kajian tindakan adalah berdasarkan model 'action research cycle' yang mempunyai asal usul dari Kemmis & Mc. Taggart (1998). Menurut Kemmis & Mc.Taggart, model ini mempunyai 4 elemen iaitu

i) Mereflek (reflect)
ii) Merancang (plan)
iii) Bertindak (action)
iv) Memerhati (obverse)


Model ini adalah relevan terutamanya dalam konteks pengendalian kajian tindakan amalan seperti yang dijalankan dalam bilik darjah terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Terdapat juga satu model kajian tindakan yang dipelopori oleh Stringer (1999) adalah lebih sesuai sekiranya seseorang guru hendak menjalankan kajian tindakan bercorak penyertaan. Stringer melihat kajian tidakan penyertaan (participatory action research) sebagai satu gelung interaksi. Gelung interaksi menunjukkan 3 fasa kajian. Bermula dengan penglihatan (looking), pemikiran (thinking), tindakan (action). Ini menunjukkan proses itu sentiasa berulangan dan diperbaharui.

Dalam model ini Stringer mengutamakan penglihatan, untuk membina satu gambaran bagi membolehkan pihak yang berkepentingan memahami isu yang mereka alami. Fasa ini meliputi pengumpulan data (seperti melalui temubual, pemerhatian dan analisis dokumen), merekod dan menganalisis maklumat, serta membina dan melapor kepada pihak yang berkepentingan.

Fasa seterusnya meliputi pemikiran iaitu mentafsir isu-isu dengan lebih mendalam dan mengenal pasti keutamaan dalam menjalankan tindakan.

Fasa terakhir, penyelidik bertindak iaitu menghasilkan penyelesaian-penyelesaian yang praktikal terhadap masalah-masalah yang timbul. Ini merangkumi penyediaan pelan tindakan dan menentukan hala tuju seperti menentukan objektif, tugas dan orang-orang yang akan melaksanakan objektif serta memperoleh sumber-sumber yang diperlukan. Ini juga termasuk melaksanakan pelan, menggalakkan orang menjalankannya dan menilainya dari segi keberkesanan dan pencapaian.

Rujukan tambahan:

Creswell, J.W. 2008. Educational Research Planning, Conducting & Evaluating Quantitative and Qualitative Research. United States of America: Pearson Merril Prentice Hall



02 May 2009

NOTA RINGKAS KULIAH 1

Pengenalan kajian tindakan (20 April 2009)

Kajian tindakan

Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Kajian tindakan juga sebagai satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang melibatkan warga sekolah itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

Kajian tindakan ini dilakukan sama ada secara individu, secara kolaboratif iaitu yang melibatkan beberapa pihak ( contohnya melibatkan beberapa orang guru), Kajian yang dilakukan di peringkat sekolah ataupun kajian tindakan yang melibatkan peringkat daerah.


Tujuan kajian tindakan

Tujuan kajian tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya. Di antara tujuan kajian tindakan adalah untuk:

1- Menambah pengetahuan berkenaan dengan sesuatu pemasalahan yang ingin dikaji. Dengan kajian yang dijalankan yang melibatkan beberapa proses membantu para guru dalam menambahkan pengetahuan mereka melalui pembacaan yang perlu dilakukan, perbincangkan yang diadakan dan pemerhatian yang dijalankan.

2- Menambah baik amalan. Kajian tindakan menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan. Guru menyelidik amalan-amalan yang hendak diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu. Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya.

3- Mendebat sesuatu polisi. Dengan menjalankan kajian tindakan guru boleh mendapatkan jawapan yang lebih tepat terhadap masalah yang berlaku. Justeru itu polisi yang dirasakan kurang bersesuaian boleh diperdebatkan berdasarkan hasil kajian tindakan yang diperolehi.

4- Membina kemahiran melakukan penyelidikan. Dengan menjalankan kajian tindakan ini boleh membantu seseorang dalam meningkatkan kemahiran berkenaan dengan penyelidikan. Dalam bidang penyelidikan, sesuatu kemahiran itu sukar untuk dikuasai jika hanya belajar secara teori tanpa dipraktikkan. Oleh itu, untuk membina kemahiran dalam menyelidik, kajian tindakan ini perlu dipraktikkan dari semasa ke semasa.


Proses menjalankan kajian tindakan

Dalam menjalankan kajian tindakan proses yang terlibat adalah seperti berikut:

- Merancang (Membuat perancangan apa yang ingin dikaji)
- Bertindak (Bertindak berdasarkan perancangan yang telah disusun)
- Memerhati (Membuat pemerhatian terhadap masalah yang dikaji contoh kelewatan datang ke sekolah)
- Merefleksi (Mengkaji aspek kelemahan dan kekuatan yang ditemui)



Langkah Tindakan

1- Mengenalpasti masalah/fokus/isu

2- Mengumpul data

3- Menganalisa data/membentuk persoalan kajian

4- Merancang pelan tindakan

5- Melaksanakan pelan tindakan

6- Mengumpul data untuk mengesan perubahan

7- Menganalisis dan menilai

8- Penilaian impak

(Nota ringkas ini adalah berdasarkan kefahaman apa yang telah diperolehi ketika di dalam kelas dan pembacaan yang dibuat setakat ini. Mungkin akan diubah dari semasa ke semasa berdasarkan kefahaman yang diperolehi. Jika ada kesilapan atau kesalahan harap dapat diperbetulkan)

AKTIVITI 2

Refleksi P & P kaedah mengajar dan strategi penambahbaikan

Refleksi masalah:

Dalam proses p & p antara masalah yang dikenalpasti adalah seperti berikut:

1) Kekurangan bahan bantu mengajar atau BBM yang digunakan tidak memberikan kesan yang menggalakkan

2) Set induksi kurang menarik

3) Teknik kooperatif yang kurang digunakan

4) Penguasaan sesuatu topik yang ingin disampaikan kepada pelajar

5) Tidak menunjukkan contoh tauladan yang kepada pelajar

6) Penggunaan ICT yang lemah

7) Bebanan tugas yang mengganggu proses P & P


Strategi untuk mengatasi masalah yang disenaraikan adalah seperti berikut:

Masalah 1: Kekurangan BBM atau BBM yang kurang berkesan

- Menggunakan bahan bantu mengajar yang boleh digunakan berulang-kali contohnya menggunakan power point yang mudah untuk untuk di edit mengikut keperluan semasa. Elakkan menggunakan bbm pakai buang

- Membuat tinjauan tahap kebolehan dan pengetahuan pelajar sebelum proses p & p dengan menyemak rekod pencapaian pelajar atau bertanyakan kepada guru-guru yang berkenaan. BBM yang disediakan perlu mengikut tahap kebolehan dan pencapaian pelajar

- Cuba elakkan masalah teknikal yang melibatkan BBM contohnya tayangan slide yang tidak boleh dilihat dengan sempurna


Masalah 2: Set induksi kurang menarik

- Set induksi dilakukan di luar bilik darjah mengikut topik yang bersesuaian contohnya tajuk dalil kewujudan Allah. Pelajar di bawa keluar dari kelas dan memerhatikan keadaan alam sekitar untuk memikirkan tentang kejadian alam

- Membawa bahan-bahan yang berkaitan contohnya keratan akhbar berkaitan topik dalil kewujudan Allah contoh tulisan berbentuk kalimah Allah di langit


Masalah 3: Teknik kooperatif yang kurang digunakan

- Membuat perancangan lebih awal untuk menggunakan teknik ini dengan memasukkan ke dalam RPH dan pastikan dipraktikkan ketika di dalam kelas

- Banyakkan P & P yang berpusatkan pelajar contohnya dengan membentuk kumpulan kecik ketika di dalam kelas dan pastikan semua pelajar boleh melibatkan diri.


Masalah 4: Penguasaan sesuatu topik yang ingin disampaikan

- Buat pembacaan berkenaan dengan topik yang ingin diajar

- Tidak hanya bergantung kepada buku teks sahaja, tetapi cari rujukan tambahan untuk lebih menguasai tajuk yang ingin dibincangkan

- Berbincang dengan guru-guru yang lebih berpengalaman berkenaan dengan topik yang ingin disampaikan


Masalah 5: Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada para pelajar

- Sentiasa membuat muhasabah diri terutamanya berkaitan dengan bahagian akhlak Islamiyah. Contohnya guru menerangkan kewajipan menurut aurat. Guru terlebih dahulu perlu melakukan baik di kawasan sekolah atau di luar kawasan sekolah sebelum diajar kepada para pelajar


Masalah 6: Penggunaan ICT yang lemah

- Mengikuti kursus yang berkaitan dengan ICT
- Memanfaatkan makmal komputer yang ada di sekolah


Masalah 7: Bebanan tugas yang mengganggu proses P & P

- Buat perancangan masa dengan sebaiknya supaya beban tugas yang diberikan tidak mengganggu proses P & P berjalan dengan baik